PENYAKIT PARKINSON? APA ITU PARKINSON? PUNCA | SIMPTOM | CARA MENGUBATI

Kongsikan :

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on telegram

Menurut sumber Harian Metro yang disiarkan pada bulan Ogos 2020, dianggarkan terdapat 10,000 pesakit Parkinson di Malaysia dengan bilangan majoriti berusia lebih daripada 60 tahun. Apa yang dapat dilihat melalui anggaran ini ialah sebahagian besar penghidap penyakit Parkinson adalah daripada golongan warga emas iaitu golongan yang berusia. Akan tetapi, tidak mustahil penyakit Parkinson ini dihidapi oleh golongan belia.

 

MAKSUD PARKINSON

Adakah anda pernah mendengar apa yang dinamakan sebagai penyakit Parkinson? Apa itu Parkinson? Pernahkah anda terdengar penyakit jenis ini? Untuk pengetahuan anda, penyakit Parkinson atau lebih dikenali hanya sebagai Parkinson merupakan sejenis penyakit yang akan mengganggu sistem saraf di bahagian otak dan berkemungkinan besar akan menyebabkan terdapatnya masalah dan gangguan dalam aktiviti harian kita seperti berisiko mengalami gangguan dalam percakapan, fikiran, tidur dan juga pergerakan badan. Penyakit Parkinson ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi sistem motor dalam badan manusia. Ini kerana, jika seseorang didiagnos atau dikesan mendapat penyakit Parkinson, sel-sel yang telah menghasilkan dopamin akan mati. Apakah pula yang dimaksudkan sebagai dopamin? Dopamin ialah merupakan sejenis neurotransmitter di mana ia dihasilkan oleh tubuh badan manusia dan sistem saraf akan menggunakannya untuk menghantar mesej antara sel saraf. Oleh itu, dopamin berfungsi sebagai neurotransmitter di bahagian otak. Di samping itu, tanda isyarat yang diberikan oleh dopaminergik dikaitkan dengan tingkah laku motivasi ganjaran dan kawalan motor dengan nyahfungsi sistem dopamin yang mengakibatkan kepada banyak penyakit.

 

SEJARAH PARKINSON

Bagi sesiapa yang baru sahaja pertama kali mendengar nama penyakit Parkinson ini pasti tertanya-tanya kan? Mengapa nama penyakit ini amat unik dan bagaimanakah nama ini boleh tercetus dan tercipta? Dan..yang paling penting sekali adalah dari manakah asal usul nama diberi dan siapakah yang menamakannya? Untuk pengetahuan anda, nama Parkinson yang diberikan adalah sempena nama seorang doktor Inggeris yang berasal daripada London iaitu James Parkinson. Beliau ada menerbitkan sebuah esei yang melaporkan enam kes agitan lumpuh (paralysis agitans). Sebuah esei mengenai ‘Shaking Palsy’ memberikan gambaran ciri-ciri tremor rehat, postur dan gaya berjalan yang tidak normal, kelumpuhan dan kekuatan otot yang semakin lemah dan berkurang serta perkembangan penyakit dari masa ke masa. Apakah pula yang dimaksudkan dengan tremor? Tremor merupakan suatu keadaan di mana tubuh badan seperti tangan, kaki, kepala atau bahagian badan yang lain mengalami suatu getaran atau dalam erti kata yang lain, keadaan badan yang menggigil secara tiba-tiba tanpa dapat dikenalpasti puncanya.

 

PUNCA / FAKTOR / PENYEBAB PARKINSON

Sehingga hari ini, penyebab penyakit Parkinson masih belum dikenalpasti dengan tepat. Ianya terjadi apabila sel saraf mati di dalam otak manusia. Akan tetapi, terdapat beberapa kemungkinan atau faktor yang menyumbang terjadinya Parkinson ini.

 

1. FAKTOR GENETIK

Antara penyebab terjadinya Parkinson adalah disebabkan faktor genetik. Ahli saintis berpendapat berlaku kemungkinan Parkinson berpunca daripada keturunan, penyakit yang diwarisi secara turun-temurun. Selain daripada itu, ahli saintis juga mengesyaki bahawa penyakit Parkinson ini merupakan hasil gabungan daripada faktor genetik dan persekitaran seperti yang digambarkan oleh formula di bawah:

Genetik + Persekitaran = Parkinson

Faktor persekitaran yang berpotensi menyebabkan risiko Parkinson adalah termasuk berlakunya pendedahan kepada racun. Sebagai contoh, racun perosak, pelarut, logam dan terdapat banyak lagi bahan pencemar lain.

 

2. TAHAP DOPAMIN YANG RENDAH

Ya. Tahap dopamin yang rendah mampu menyumbang kepada terjadinya gejala Parkinson ini. Para saintis mengaitkan tahap dopamin yang rendah, ‘neurotransmitter’ dengan penyakit Parkinson. Hal ini berlaku apabila sel yang sepatutnya menghasilkan dopamin telah mati di bahagian otak. Oleh kerana ini, tahap dopamin yang semakin rendah yang dihidapi oleh pesakit Parkinson akan beransur-ansur menjadi parah.

 

3. TAHAP NOREPINEPHRINE YANG RENDAH

Jika tadi kita sudah mengetahui apakah yang dimaksudkan oleh istilah dopamin, perlu kita ketahui juga ‘norepinephrine’ juga merupakan punca yang menyebabkan berlaku risiko penyakit Parkinson. Apakah itu ‘norepinephrine’? Pernahkah anda mendengar istilah ini sebelum ini? Baiklah, bagi pengetahuan anda, ‘norepinephrine’ atau juga dikenali sebagai ‘noradrenaline’ merupakan bahan kimia yang berlaku secara semula jadi di dalam tubuh manusia dan juga bertindak sebagai ‘neurotransmitter’ iaitu merupakan bahan kimia yang berfungsi untuk menghantar isyarat antara sel saraf. Dalam penyakit Parkinson, hujung saraf yang bertindak menghasilkan ‘neurotransmitter’ ini akan mati. Hal ini dapat menjelaskan bahawa individu yang mengalami gejala Parkinson bukan hanya akan mengalami masalah pergerakan akan tetapi golongan ini turut mengalami keletihan, sembelit dan sebagainya.

 

SIMPTOM / GEJALA / TANDA-TANDA AWAL PARKINSON

 

Antara tanda-tanda awal penyakit Parkinson ialah:

1. Masalah pergerakan tubuh badan

Ini dapat dilihat sekiranya seseorang itu mengalami gegaran tangan yang berlaku secara semulajadi.

 

2. Pengurangan koordinasi dan keseimbangan tubuh badan

Sebagai contoh, koordinasi dan keseimbangan badan seseorang akan berkurang di mana akan menyebabkan barang yang dipegang lebih cenderung untuk jatuh.

 

3. Berlaku gegaran dalam suara

Bagi individu yang mengalami Parkinson, akan berisiko menghadapi gegaran ketika ingin bercakap atau berucap.

 

4. Kehilangan deria bau.

Terjadinya kehilangan deria bau juga boleh menjadi tanda awal kepada penyakit Parkinson.

 

5. Terjadinya perubahan ketika menulis sesuatu menggunakan tangan

Sebagai contoh, tulisan individu yang mengalami Parkinson cenderung akan menjadi lebih kecil dan sempit di mana tulisan kelihatan rapat antara satu sama lain.

 

KESAN /IMPAK/ IMPLIKASI/ CABARAN PARKINSON DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

 

1. Menghadapi masalah dalam pertuturan

Bagi individu yang mengalami gejala Parkinson, mereka akan mengalami kesukaran dalam bertutur. Segala percakapan akan menjadi sukar dari masa ke masa. Hal ini kerana, penyakit Parkinson bertindak akan mempengaruhi otot manusia di mana ucapan seseorang akan menjadi lebih lembut sehingga sukar untuk difahami oleh pendengar. Seterusnya, kemampuan berfikir membuatkan seseorang itu mengalami kesukaran dalam bertutur dengan baik ketika berkomunikasi. Hal ini akan menyebabkan golongan ini sukar untuk menyertai sesuatu aktiviti sosial kerana kekurangannya yang mengurangkan keyakinan dalam diri.

 

2. Kesukaran dalam mengunyah dan menelan makanan

Individu yang mengalami simpton Parkinson akan mengalami kesukaran ketika makan. Individu ini akan susah untuk menelan dan mengunyah sejumlah makanan ketika makan. Ini kerana, terjadinya perubahan fungsi dalam tubuh badan sama ada dalam sistem saraf autonomi atau otot di kerongkong.

 

3. Kemurungan dan kegelisahan (depression and anxiety)

Menurut kajian yang dijalankan oleh para pengkaji, sekitar 40% hingga 50% individu yang mengalami penyakit Parkinson juga menghadapi kemurungan dalam masa yang sama. Oleh kerana ini, keadaan ini akan menjadi lebih sukar bagi individu terbabit mengatasi sebarang gejala fizikal. Gejala neuropsikiatrik termasuklah mengalami gangguan kegelisahan, mengalami masalah tidur, berlaku perubahan tingkah laku dan cara berfikir.

 

LANGKAH / CARA/ KAEDAH / INSIATIF BAGI MENGAWAL PENYAKIT PARKINSON

 

1. Aktif dalam aktiviti senaman dan sukan

Tidak dapat dinafikan bahawa bergiat aktif dalam bersukan adalah penting bagi semua orang, akan tetapi bagi individu yang mengalami Parkinson, cara ini amat berguna dan bertindak sebagai terapi dalam diri. Menurut kajian, aktiviti senaman akan membantu otak menggunakan dopamin yang bertindak sebagai bahan kimia dalam melakukan pergerakan dengan lebih efektif. Apabila tubuh badan cergas, maka akan dapat meningkatkan kekuatan, keseimbangan, ingatan dan kualiti hidup seseorang.

 

2. Menghirup udara segar di luar dan keluar dari rumah

Individu yang mengalami Parkinson perlu mengambil inisiatif untuk keluar dari rumah. Ini kerana, tidak digalakkan untuk berada dalam keadaan berseorangan di rumah bagi mengelakkan gejala ini daripada berlarutan. Selain itu, mampu mengurangkan kegelisahan dan kemurungan dengan menghirup udara yang segar apabila berada di luar.

 

3. Corak pemakanan yang sihat dan diet yang seimbang

Terdapat beberapa makanan yang akan membantu bagi meringankan beberapa gejala Parkinson. Sebagai contoh, mengambil makanan yang tinggi serat dan minum sejumlah cecair dapat membantu mencegah sembelit yang kebiasaannya terjadi pada penyakit Parkinson. Selain daripada itu, diet yang seimbang juga menyediakan nutrien yang diperlukan oleh badan. Sebagai contoh, nutrien seperti asid lemak omega-3 di mana akan memberi manfaat kepada penghidap penyakit Parkinson.

Pakej PrintPreneur