Anda Dibuang Kerja? Ini 7 Pilihan Perniagaan yang Anda Boleh Mulakan Dalam Fasa Covid-19.

Kongsikan :

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on telegram

Pandemik Covid-19 yang berlaku pada awal 2020 sehingga kini telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia dan juga dunia. Banyak perniagaan yang terpaksa memberhentikan pekerja, mengurangkan gaji pekerja dan ada juga yang terpaksa menggulung tikar kerana tidak dapat menanggung lagi kos rugi yang terlalu tinggi semasa wabak seperti perniagaan di sektor pelancongan dan juga penerbangan. Tetapi tak salah juga jika kami katakan, ada beberapa perniagaan yang naik semasa pandemik ini berlaku dan mungkin, anda juga berpotensi untuk mendapat keuntungan besar. Mari kami kongsikan kepada anda 7 pilihan perniagaan yang anda berpotensi untuk berjaya jika anda mencuba hari ini!

1. Makanan dan Minuman
Ya, tidak salah jika kami katakan, perniagaan makanan dan minuman atau lebih dikenali dengan food and beverage service (F&B) adalah pilihan bisnes untuk anda yang baru mula untuk berkecimpung dengan dunia perniagaan untuk mencuba. Perniagaan ini akan sentiasa berjalan walau apa sahaja berlaku pada dunia termasuklah wabak. Mengapa? Kerana semua orang memerlukan makanan dan minuman. Walaupun kami tidak nafikan, sektor ini juga terkesan hebat akibat wabak dan ramai juga majikan yang terpaksa memberhentikan pekerja mereka kerana pandemik ini. Tetapi banyak pengusaha restoran mencuba untuk membuat inovasi kepada perniagaan mereka supaya ia relevan dengan dunia hari ini. Restoran dan perniagaan makanan dan minuman kecil membuat perkhidmatan penghantaran ke rumah kerana pelanggan tidak dapat keluar ke rumah dan ini menguntungkan mereka juga kerana peniaga mengenakan caj kepada setiap penghantaran. Antara idea perniagaan makanan dan minuman yang anda boleh cuba jika anda berminat untuk memulakan perniagaan ini adalah, makanan ruji seperti nasi lemak dan juga mungkin juadah yang agak sukar untuk dimasak oleh kebanyakan orang seperti nasi briyani atau nasi arab.

2. Mengajar Atas Talian (Online Teaching)
Tak salah jika saya katakan, pendidikan juga termasuk di dalam perniagaan yang anda boleh ceburi semasa wabak kerana sekolah dan institusi pembelajaran secara amnya diarahkan tutup untuk satu tempoh yang panjang. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama yang berjalan pada 18 Mac hingga 31 Mac 2020, kemudian disambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akhirnya memakan hampir 3 bulan, pelajar sekolah tidak dapat datang ke sekolah dan mereka sudah ketinggalan banyak silibus pengajaran dan pembelajaran yang seharusnya mereka tempuhi sepanjang tahun. Ibu bapa mulai risau dengan pencapaian anak-anak dan juga pendidikan yang seharusnya mereka pelajari semasa di sekolah. Pendidikan atas talian adalah cara yang paling mudah untuk ibu bapa ‘memaksa’ anak-anak mereka masuk ke kelas semula. Internet dan komputer adalah dua benda yang sangat mirip untuk anak-anak mereka semasa musim Covid-19 ini dan mereka menggunakan peluang ini untuk mencari guru-guru atas talian yang boleh mengajar anak-anak mereka. Jika anda mempunyai bakat mengajar dan mempunyai ilmu untuk dikongsi dan boleh diajar, perniagaan ini sangat menguntungkan kepada anda. Apa yang anda perlukan hanyalah internet yang berkelajuan tinggi, laptop dan juga perisian seperti Zoom, Webex atau Google Meet.

3. E-Commerce
E-Commerce atau dalam bahasa melayunya disebut e-dagang adalah platform yang ramai daripada kalangan kita mencuba semasa pandemik. Pelanggan (dan juga anda, usahawan baru) tidak perlu keluar rumah, membuka kedai fizikal dan apa yang anda perlukan adalah telefon pintar untuk menjual dan membeli-belah. Anda hanya perlu ke pejabat pos untuk mengepos barang-barang tersebut dan ianya tidak mengambil seluruh masa dan ruang anda untuk berbuat sedemikian. Hanya dengan satu klik, pembayaran atas talian dibuat dan barangan mereka sampai di depan rumah. Sangat mudah.Dengan kewujudan platform-platform e-dagang yang membuka lebih banyak ruang kepada usahawan-usahawan kecil ini untuk memasarkan produk mereka tanpa memerlukan kedai sebenar, e-dagang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Aplikasi seperti Shopee, Lazada, PG Mall dan banyak lagi platform lain digunakan kepada perniaga-peniaga ini untuk menjual barangan mereka. Anda malah boleh menjual apa sahaja di platform ini seperti kuih raya, keropok lekor, karpet, permainan kanak-kanak dan bermacam-macam lagi, tanpa had!

4. Reka Bentuk dan Pembangun Web (Web Design and Developer)
Jika anda mempunyai kemahiran untuk mereka bentuk dan membangunkan web, ini adalah salah satu perniagaan yang anda wajib cuba! Disebabkan perniagaan kini banyak tertumpu kepada e-dagang seperti yang kami senaraikan di atas, keperluan untuk mereka bentuk dan juga membina web ini melonjak naik kerana usahawan atas talian memerlukan anda untuk memasarkan lagi perniagaan mereka. Perniagaan ini sangat menguntungkan jika anda mahir, atau anda mempunyai pengetahuan atau pengalaman membina dan mereka bentuk web kerana modalnya adalah laptop anda, perisian-perisian yang tidak biasa digunakan oleh orang kebanyakan tetapi anda sangat pandai menggunakannya dan juga kemahiran anda.

5. Bekalan Perubatan (Medical Supplies)
Disebabkan kegawatan ekonomi ini muncul akibat virus Covid-19 yang memerlukan penjagaan kesihatan yang tinggi, bekalan perubatan adalah perniagaan yang sangat menguntungkan kini. Anda pernah dengar syarikat Top Glove? Ya, syarikat yang mengeluarkan sarung tangan ini mencatatkan keuntungan luar biasa yang mencecah 300% pada tahun ini kerana permintaan kepada sarung tangan sangat tinggi pada masa sekarang. Peniaga-peniaga kecil yang menjual pelitup muka (face mask) dan juga pensanitasi tangan (hand sanitizer) juga mendapat pulangan yang lumayan walaupun mereka hanya menjualnya di platform atas talian kerana permintaan kepada bekalan-bekalan ini sangat tinggi kerana pandemik. Ada juga yang kreatif, mencipta dan menjual sambungan pelitup muka (face mask extension) kerana ia dilihat sebagai keperluan kepada mereka yang memakai tudung. Jika anda mempunyai kemahiran untuk membuat pelitup muka, pasarkan kepada teman-teman atau di Shopee kerana pulangannya juga menguntungkan.

6. Penghantaran Barang
Perkhidmatan menghantar barangan ini juga menjadi satu perniagaan yang sangat menguntungkan semasa wabak ini berlaku. Mereka yang dibuang kerja dan mempunyai lesen motor menjadi penghantar barangan kerana permintaan kepada servis ini melonjak naik susulan perniagaan atas talian yang juga melonjak semasa wabak. Apa yang anda perlukan hanyalah motosikal, lesen motor dan juga aplikasi Google Maps atau Waze. Anda boleh menawarkan perkhidmatan anda kepada pengusaha-pengusaha kecil sebagai ejen persendirian atau pun mendaftar sebagai rider di aplikasi-aplikasi perkhidmatan barangan dan makanan seperti Grabfood dan juga Foodpanda.

7. Bertani
Semenjak pandemik ini berlaku, kebanyakan peniaga makanan sukar untuk mendapatkan bekalan makanan untuk meneruskan perniagaan mereka kerana pengeluar makanan yang biasa mereka berurusan juga menghadapi sekatan semasa wabak. Tetapi jika anda mempunyai kemahiran bercucuk tanam, tanah yang boleh memberikan hasil pertanian, ini adalah peluang untuk anda mengeluarkan sumber pertanian anda dan memasarkannya kepada peniaga makanan. Apa yang anda perlukan adalah alatan menanam antaranya; mesin pemotong rumput, strimmer dan pemangkas. Anda mungkin juga memerlukan sekop, garpu, gunting, alat pemotong, mesin pemotong rumput (yang terbaik untuk memiliki bateri), tangga, peniup daun, kereta sorong, cermin mata keselamatan, hose pipe, aplikator semburan, dan lain-lain. Jika anda kreatif, anda mungkin tidak perlu untuk membeli baru alatan di atas, tetapi memakai apa yang sedia ada atau anda juga boleh membeli mengikut saiz tanah yang anda ada untuk bertani. Hasilnya mungkin tidaklah sebesar mereka yang mempunyai ladang tetapi anda boleh menjana pendapatan dengan menjual produk pertanian kepada peniaga makanan di luar sana dan dalam masa yang sama, menyuburkan tanah anda!
Kesimpulannya, walaupun negara sedang dilanda bencana penyakit yang menjatuhkan ekonomi negara dan kewangan kita, janganlah kita berputus asa kerana ada lagi lubuk-lubuk mencari duit yang boleh kita cuba. Ramai di kalangan kita yang dibuang kerja dan menganggur akibat wabak ini tetapi kita harus buktikan kita mampu menang melawan pandemik ini. Bantuan-bantuan yang disalurkan oleh kerajaan juga sedikit sebanyak dapat membantu kita memulakan perniagaan kecil-kecilan dan bangkit semula meneguhkan ekonomi kita. Jika mereka boleh lakukannya, pasti anda juga boleh!
Selamat maju jaya dan kami doakan anda berjaya!